Penempatan Felda Sungai Tiang

Nama Sungai Tiang


  Sungai Tiang satu ketika dahulu mempunyai sebuah sungai yang besar dan luas. Pada ketika itu, pengangkutan utama masyarakat kampung ialah menaiki sampan dan juga perahu. Malah, hasil perkayuan seperti pokok-pokok balak turut menjadikan sungai sebagai pengangkutan untuk dihantar ke negeri-negeri lain. Batang-batang kayu seperti pokok balak, cengal dan meranti dipanggil tiang oleh penduduk Negeri Kedah. Maka, tiang ini sentiasa terapung dan melalui sungai yang berada di perkampungan tersebut. Dek kerana terlalu banyak kayu balak yang terapung di dalam sungai, maka akhirnya kampung tersebut digelar Sungai Tiang.


Sumber daripada Pejabat Felda Sungai Tiang,Pendang Kedah

Felda Sungai Tiang

   Felda Sungai Tiang terletak dalam Daerah Pendang di Negeri Kedah Darul Aman. Felda Sungai Tiang adalah sebuah tanah rancangan yang telah dibuka bermula tahun 1959. Sebelum merdeka, kawasan tanah Felda Sungai Tiang menjadi sebuah tempat persembunyian komunis. Komunis yang bersembunyi di tempat yang diberi nama Bukit Rimau itu kemudian hilang setelah tanah rancangan di buka di kawasan mereka.

Melopak    Memeron

Pihak Felda mengambil alih untuk pembangunan kawasan Sungai Tiang dan nama telah ditukarkan kepada Felda Sungai Tiang. Felda Sungai Tiang telah dimajukan pada tahun 1959/1960. Pada tahun 1960, peneroka seramai 522 keluarga telah dimasukkan ke dalam rancangan. Peneroka Felda Sungai Tiang yang kebanyakannya berasal dari Kedah ini dipilih dari keluarga yang benar-benar daif pada ketika itu. Setiap sebuah keluarga akan menerima tiga hektar tanah untuk menanam getah, suku ekar tanah untuk membina rumah serta dua ekar tanah untuk dusun buah-buahan. Setelah tanah dibahagi-bahagikan kepada peneroka, mereka akan menebang dan menebas kawasan hutan untuk dibuat penempatan. Kayu hutan yang ditebang digunakan untuk dibina rumah secara bergotong-royong sesama peneroka Felda. Pada 2 Januari 1985, rancangan Sungai Tiang telah menerima hak miliknya. Kawasan utama telah ditanam semula dengan getah pada tahun 1990/1991 dan mula mengeluarkan hasil pada tahun 1997. Selain itu, kawasan-kawasan dusun turut ditanam dengan getah pada tahun 1984/1985 dan mula mengeluarkan hasil pada tahun 1995. 


Sumber daripada Pejabat Felda Sungai Tiang,Pendang Kedah